Implementasi Teknologi Maklumat dan
Komunikasi (selepas ini dipanggil ICT) dalam organisasi pendidikan pada
masa kini merupakan satu fenomena biasa. Kajian-kajian mengenai
implementasi teknologi bermula sekitar tahun 1950-an. Revolusi teknologi
telah berjaya melakukan perubahan pendekatan terhadap pengurusan
teknologi korporat. Laudon dan Laudon (1998) menyatakan terdapat empat
jenis perubahan organisasi yang dihasilkan oleh ICT iaitu automasi,
rasional, perekayasaan dan perubahan paradigma. Automasi merujuk kepada
aplikasi ICT untuk membantu pekerja melaksanakan tanggungjawab dengan
lebih berkesan dan meningkatkan prestasi kerja. Rasional berrmaksud
memudahkan prosedur operasi bagi mengelakkan bottleneck supaya proses
automasi akan menjadikan prosedur lebih berkesan.
Kedua-dua model ini merupakan
pendekatan kejuruteraan iaitu memberikan penekanan kepada proses
membangun, merancang, membina dan mengawal. Sementara perekayasaan pula
merujuk kepada mereka semula proses-proses perniagaan dengan tujuan
utama untuk mengurangkan kos dan masa secara signifikan. Perubahan
paradigma merupakan proses perekayasaan yang lebih radikal melibatkan
mengkonsepsi semula proses perniagaan dan ciri organisasi. Menurut
Davies (1996), pendekatan perekayasaan merupakan satu kaedah yang perlu
diberi perhatian oleh pemimpin sekolah bagi menghadapi cabaran abad ke
21.
Justeru, ICT sememangnya dapat
membantu pengurus pendidikan dalam membuat keputusan, menyesuaikan diri
dengan perubahan dan selanjutnya dapat meningkatkan komunikasi dalam
organisasinya. Pengurus sekolah tidak dapat dipisahkan daripada
membuat keputusan pada setiap hari kerana ini merupakan elemen penting
dalam menjalankan tugas merancang, membuat keputusan, menganalisis,
sumber manusia, memimpin, mengawal, berkomunikasi serta berfungsi dengan
lebih cekap, berkesan, mudah dan cepat yang melibatkan maklumat,
proses dan kerja seperti pendaftaran pelajar, pelbagai rekod, kawalan
inventori, jadual waktu, opsyen guru, bilangan waktu mengajar, hal yang
berkaitan peperiksaan, pembelian stok dan sebagainya. Ini bersesuaian
dengan pendapat Laudon dan Laudon (1997) yang menyatakan sistem
maklumat dan komunikasi adalah komponen-komponen yang bersepadu yang
mengumpul dan menyimpan maklumat bagi membantu organisasi membuat
keputusan, merancang, mengawal dan menganalisis.
Secara umum ICT dapat menukarkan
data-data mentah yang tidak memberi makna kepada maklumat yang tersusun
dan berguna apabila ianya diproses, disimpan dan boleh dikemaskinikan
dengan mudah dan cepat dengan menggunakan pelbagai perisian komputer
yang ada. Maklumat-maklumat yang telah diproses ini sudah tentu dapat
membantu pengurus sekolah membuat keputusan-keputusan yang tepat dan
berguna dalam perancangan, pemantauan dan kawalan. Sebagai contoh dengan
menggunakan sistem maklumat berasaskan komputer, maklumat mengenai
pencapaian pelajar dalam peperiksaan disimpan, diproses dan dianalisis
dalam bentuk graf, carta pai, carta bar, senarai dan jadual-jadual
statistik yang mudah membantu pentadbiran sekolah mengesan kekuatan dan
kelemahan yang ada dan seterusnya memudahkan mereka membuat
perancangan dan program susulan yang sesuai dan dengan sendirinya
keputusan yang diambil nanti relevan dengan isu dan masalah yang
berbangkit.
Maklumat berkaitan pelajar tidak
hanya terhad kepada peperiksaan semata-mata kerana mereka merupakan
komuniti utama dalam sesebuah sekolah. Maklumat berkaitan pelajar
termasuklah maklumat peribadi, pencapaian akademik, penglibatan
kokurikulum, disiplin, sahsiah, buku teks, biasiswa dan sebagainya
boleh diakses dengan mudah dan cepat untuk kegunaan pengurusan sekolah
dengan bantuan teknologi ICT.
Dulu maklumat yang disimpan di
dalam fail kurang membantu dan dimanfaatkan kerana sukar dicapai.
Tetapi kini dengan bantuan ICT, pengurusan sekolah dapat bekerjasama,
berurusan dan membantu pihak luar seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat,
Polis, Mahkamah dan pihak-pihak tertentu dengan lebih mudah dan cepat
apabila maklumat sentiasa dapat dikemaskinikan.
Selain itu tugas pengurusan
pejabat yang berkaitan dengan pengurusan kewangan, pengurusan stok,
inventori, pembelian dan pelupusan barang memerlukan satu sistem yang
memudahkan pengurusan sekolah membuat keputusan-keputusan penting.
“Sistem Sokongan Keputusan” (DSS) adalah perisian komputer yang boleh
menganalisis data dan dapat memudahkan pembuatan keputusan berdasarkan
output yang ditunjukkan.
Reigelath (1987), berpendapat
struktur sistem pendidikan semakin rendah apabila masyarakat cepat
berubah dengan teknologi tinggi yang berorientasikan maklumat.
Berdasarkan kenyataaan tersebut tidak dapat tidak pengurus pendidikan
memainkan peranan dan tanggungjawab penting dalam menghadapi cabaran ke
arah arus perubahan keseluruhan sistem pentadbiran dan pengurusan
sekolah. Bermula dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran,
pendekatannya harus disesuaikan dengan arus perkembangan ICT terkini.
Dalam konteks ini guru bukan
lagi dilihat sebagai sumber utama untuk menyampaikan maklumat tetapi
lebih sebagai pemudah cara. Sebagai pengurus pendidikan sewajarnya
mempastikan guru-guru mempunyai kebolehan dan kemahiran memperolehi
maklumat daripada pelbagai sumber untuk tujuan pembelajaran dan
pengajaran dan tahu menggunakan teknologi komunikasi seperti CD Rom,
cakera padat, video, komputer, komputer bimbit, dan perisian-perisian
aplikasi komputer seperti e-mail, pengkalan data, pemprosesan
perkataan, hamparan eletronik, internet, perisian persembahan dan
lain-lainnya.
Menurut Stair dan Reynolds
(1999), tujuan utama sistem maklumat dan komunikasi adalah untuk
membantu organisasi mencapai matlamat-matlamatnya dengan membekalkan
pengurus-pengurus dengan “insight” ke atas operasi organisasi supaya
mereka dapat mengawal, mengelola dan merancang dengan lebih berkesan dan
lebih cekap. Justeru itu pengurus sekolah seharusnya menyiapkan diri
dengan kepakaran dan kelebihan dalam teknologi maklumat ini kerana
kemampuan mereka itu akan memudahkan sekolah diurus dengan berkesan dan
cemerlang dan boleh menghadapi perubahan-perubahan drastik dalam dunia
pendidikan.
Kementerian Pendidikan umpamanya
sebagai badan induk dunia pendidikan telah memainkan peranan penting
untuk menghadapi zaman globalisasi dan dunia pendidikan tanpa sempadan
dengan memasukkan kurikulum ICT dalam KBSR dan KBSM. Di samping sifat
ICT itu sendiri yang membentuk suasana pembelajaran sepanjang hayat dan
memberi peluang-peluang pembelajaran yang tidak ada had maka adalah
menjadi suatu kewajaran kepada pengurus-pengurus pendidikan untuk
menyesuaikan diri dengan segera kepada perubahan-perubahan ini.
Dalam konteks sekolah kini,
kebanyakan sistem pengurusan pejabat menggunakan peralatan komputer
dengan menggunakan perisian-perisian seperti MS Excel untuk kewangan
sekolah, sistem sokongan keputusan (DSS) untuk membuat keputusan dan
menyelesaikan masalah, sistem maklumat pengurusan (MIS) yang
membolehkan capaian mudah kepada data pelajar dan staf, sistem
pengautomasian pejabat (OAS) untuk meningkatkan keberkesanan dan
kecekapan urusan seharian pejabat dengan menghasilkan kerja yang lebih
pantas dan lebih kemaskini. Selain itu satu aplikasi komputer dalam
pengurusan skim pinjaman buku teks dibangunkan menggunakan perisian
dBase IV dapat membantu pengurusan dalam proses pinjaman buku.
Keadaan-keadaan ini amat
menuntut pengurus sekolah supaya sama-sama bergerak seiring dengan arus
perubahan tersebut supaya mereka menjadi seorang pengurus, pemimpin
dan pentadbir yang berketrampilan dan berwibawa seperti mana pandangan
Zarina Zakaria (1998) yang menyatakan bahawa ekspektasi pentadbir
sekolah terhadap sistem-sistem maklumat dan sikap mereka terhadap
penggunaan komputer memberikan impak yang besar kepada kejayaan sekolah.
Pengurus pendidikan harus
menitikberatkan ICT sebagai satu pemboleh ubah penting dalam mewujudkan
sistem pengurusan berprestasi tinggi. Secara khusus, pengurusan ICT
menekankan pencapaian kecekapan pengurusan dengan memastikan maklumat
yang betul dapat diperoleh tepat pada masanya. Untuk mencapai ini,
peranan ICT sentiasa ditambah baik bagi meningkatkan integrasi dengan
proses pengurusan. Misalnya komunikasi yang melibatkan proses
penghantaran dan penerimaan mesej. Melalui komunikasi pengurusan dan
pentadbiran sekolah boleh berkongsi maklumat-maklumat yang berguna untuk
sebarang urusan. Bentuk komunikasi seperti surat-menyurat, memo, fax,
pesanan suara dan telefon adalah menjadi kebiasaan di mana-mana.
Hakikatnya memang teknologi
maklumat dan komunikasi (ICT) dapat meningkatkan komunikasi dalam
organisasi sekolah yang mendorong untuk menjadikan sekolah sebuah
organisasi pembelajaran dan mewujudkan persaingan yang sihat di
kalangan warga sekolah. Oleh itu, perkembangan teknologi ICT perlu
diteroka semaksimum mungkin bagi digunakan dalam melaksanakan misi
pengurusan. Penggunaan teknologi tidak boleh lagi terhad kepada aspek
tertentu sahaja, sebaliknya ia perlu menyeluruh dan bersepadu supaya
perkongsian maklumat di dalam dan di antara agensi dapat dimanfaatkan
bagi tujuan pemantauan serta penilaian keberkesanan dasar dan matlamat
pengurusan maklumat.
No comments:
Post a Comment